Petang itu
cuaca sangat indah, seindah pelangi petang yang memancar di kaki bukit sana.
Balqis duduk di anjung asrama sambil ligat memerhatikan teman-teman sekuliahnya
yang rancak bermain bola jaring di gelanggang khas yang terletak bertentangan
dengan asrama mereka. Dia menarik nafas panjang sebelum dikejutkan oleh suara
nyaring teman baiknya, Syifa.
“Balqis, kau tak nak main sama ke? Jomlah… buang lemak dekat perut
kau tu,” teriak Syifa kuat. Kelihatan Syifa bercekik pinggang di tepi
gelanggang sana. Mendongak kepalanya melihat Balqis di anjung asrama.
‘Amboi dia ni… tak sayang mulut betul. Buat malu aku aje’ guman
Balqis dalam hati. Kalau boleh mahu saja dia menzahirkan kata-kata itu tetapi
dia sedar yang dia bukanlah jenis yang suka teriak-teriak begitu. Malu dan
segan masih wujud dalam hati wanitanya. Cukup sekadar menggeleng sahaja.
“Jomlah, macamlah kau tak tahu cara main bola jaring ni.” Syifa
masih mahu mengajak tetapi Balqis tetap mengeleng keras. Malas dia hendak turun
ke bawah. Lagi pula sekejap sahaja lagi akan masuk waktu Maghrib. Dan sudah
menjadi kebiasaannya, sebelum azan Maghrib berkumandang dari Masjid kampus, dia
akan mandi dan membersihkan diri, mahu solat di awal waktu.
Perlahan-lahan Balqis masuk ke bilik asrama. Tetapi dia tidak terus
ke bilik air. Duduk lagi dia di birai katil Syifa yang berdekatan dengan
tingkap bilik asrama mereka. Tanpa dipinta, terlayar bayang seseorang yang
cukup serasi dengan jiwa dan ingatannya. Balqis senyum sendiri. Senyum yang
entah apa ertinya itu. Hampir setiap hari, bayangan itu pasti akan terlintas di
mindanya. Dan perlahan-lahan dia menguak sedikit langsir tingkap. Ada beberapa
mahasiswa yang sedang berjoging di halaman asrama di sebelah sana. Balqis masih
ingat lagi, dulu suasana asrama mahasiswa itu indah dan berseri-seri
pemandangannya. Tapi sekarang semuanya jadi suram… sepi… sunyi… dan tak mungkin
akan sama seperti dulu. Sungguh! Ada rasa pedih yang menyelubungi perasaan
Balqis saat itu.
“AstaghfirullahAladzim…” panjang Balqis beristighfar. Laungan azan
yang berkumandang di Masjid kampus menyetakkan sedar Balqis. Jauh sungguh dia
mengelamun. Sampai-sampai niatnya untuk mandi sebelum masuk waktu solat Maghrib
tergendala jadinya.
* * *
02 April 2011
- Petang tadi, aku dan Syifa jalan kaki je ke kelas sebab kereta
Atul ada dekat workshop. Rosak gara-gara accident hari tu. Nasib baik jugalah
tak teruk. Dan Alhamdulillah, Atul tak cedera apa-apa. Setiap hari Jumaat, aku
memang tak sabar nak ke kelas. Almaklumlah, hari-hari Jumaat ni mesti aku akan
terserempak dengan dia, walaupun kadang-kadang cuma dari jauh je…. entah! Aku
sebenarnya tak tahu pun nama sebenar dia. Aku pernah juga dengar member dia
panggil dia dengan nama ‘Am’. Tapi pendek sangat! Confirm itu bukan nama dia
sebenarkan? Hehehe…
- Dan seperti yang aku jangkakan, dia ada muncul hari ni. Segaknya
dia berbaju putih, berkopiah dan berkain pelikat ringkas. Nak ke masjidlah tu
untuk solat Jumaat. Sejuk perut mak dia time lahirkan dia…
25 Julai 2011
- Hari ni, kelas habis awal pulak. Miss Misha kasi tamat kelas
awal tidak seperti biasa. Katanya, dia ada urusan penting yang nak
diselesaikan. Dan oleh sebab itu, sebagai ganti kami dibekalkan dengan satu
assignment individu. Hurmm…
- Aku tunggu Shifa dekat atrium kampus sorang-sorang. Kalau tak disebabkan
Syifa sms aku untuk balik sama hari ni, confirm aku dah balik dari tadi. Tapi
tak apalah. Balik pun, tak ada kawan dekat asrama tu. Roommate semua ada
kelas/aktiviti masing-masing. Lagipun sementara menunggu Syifa, boleh juga aku
cari jawapan sikit untuk assignment Social Science yang En Azhar bagi masa
dalam kelas tadi dekat google handphone aku ni.
- Lamanya aku tunggu Syifa sampai aku dah tak tahu nak search apa
lagi. Sampai orang-orang yang lepak dekat atrium kampus pun dah berganti entah
untuk keberapa kali. Huhuhu… dan tiba-tiba, jantung aku ni macam nak jatuh je.
Kenapa? Hmmm.. dari jauh aku nampak ‘Am’ tahu. Dia makin dekat… makin dekat…
dan makin dekat datang ke arah aku yang tengah duduk menunggu tu. Ya Allah…
hari ni aku happy sangat-sangat sebab aku dapat dengar suara dia dari jarak
dekat tahu. Hahaha… member dia pulak yang dok duduk belah aku ni dari tadi.
Steady je diaorang bercerita. Tapi sedih pun ada, langsung dia tak tengok aku
ni?
“Balqis, kenapa tak siap lagi? Bukan kau ada kelas ke tengah hari
ni?” terkejut Balqis dengan sergahan Syifa yang tiba-tiba itu. Cepat-cepat
Balqis menyorokkan buku diarinya di bawah bantal. Diari pelangi… Balqis
mengibaratkan diarinya itu seperti pelangi yang ada pelbagai warna dan
sesungguhnya diari itu terkandung kenangan pahit dan manis di dalamnya dan
kerana itu Balqis namakan diari pelangi. Itu jawapannya kepada Syifa suatu masa
dahulu sewaktu terlihat sebaris ayat “Diari Pelangi’ pada muka hadapan buku
itu.
* * *
Balqis duduk termenung di halaman asrama perempuan. Sejak dia
balik kelas jam 4 petang tadi, dia sudah duduk di situ. Gara-gara dia malas
hendak naik ke bilik, jadi dia berhasrat untuk menikmati sahaja cuaca petang
yang dingin itu. Tudung kepala yang melitupi kepala dibetulkan sengetnya. Dan
perlahan-lahan dia mengeluarkan buku diari dari dalam beg.
02 September 2011
- Hari ini, aku ke library sorang-sorang. Mulanya, aku ajak syifa.
Tapi dia tak nak. Dia kata dia sakit perut. Hurmm, senggugut datang lah tu. Aku
ambil tempat nun jauh tersorok di hujung sana. Bukan apa. Library dah sesak
dengan budak-budak junior yang baru daftar minggu lepas. Kami dulu pun macam ni
jugalah. Skema… awal semester je rajin baca nota itulah, inilah.. walaupun tak
ada dalam silibus pembelajaran. Biasalah, jiwa-jiwa bergelar
mahasiswa-mahasiswi masih membara. Hehehe..
- Tengah dok kusyuk selak-selak nota Management Gurus tu, aku
dikejutkan dengan suara garau seseorang. Dan bila aku dongak… Ya Allah, macam
dunia ni aku yang punyalah masa tu. Aku pun tak tahulah, berapa minit aku
khayal dok tengok dia sampai-sampai dia berdehem depan aku. Malu pun ada
sebenarnya. Dia Tanya ‘Tempat ni kosong ke? Meja depan semua dah penuh. Saya
nak duduk sini boleh?’ Alahai…. pertama kali dia cakap dan tenung aku. Melting
rasanya… hahaha.. aku pun apa lagi, cepat-cepat tarik beg, buku nota, dan
pensel box aku yang berselerak atas meja. Meja yang penuh dengan habuk pemadam,
aku sapu dengan tisu. Semuanya demi dia! Yeah!
Balqis senyum sendiri. Sungguh indah dan damai di hati. Sekilas,
bayangan Putera Ammar bermain di ingatan. Rindu rasanya dengan wajah yang satu
itu. Lalu, di bukanya lagi lembaran tiap lembaran buku diarinya.
21 Januari 2012
- Petang tadi, aku ke cafe dengan Syifa, Atul, dan abang Adzim,
budak senior kitaorang. Bukan apa, kitaorang cuma nak minta tolong dekat abang
Adzim untuk subjek Research. Lagipun dia dah senior dan dah pun ambil subjek ni
dulu. Jadi tak salahlah junior nak minta tolong dekat senior, kan?
- Tiba-tiba, dari arah belakang, aku terdengar satu suara yang
semacam aku rindu nak dengar lepas kejadian dekat library hari tu. Aku tengok
Syifa, Syifa pula dah melopong matanya tengok dekat arah belakang aku. Oh my
God! Aku pasti, ni mesti dia yang datang ni. Tapi aku tak berani nak toleh.
Alahai… jantung pulak tiba-tiba berdegup semacam. Dan yang paling aku tak
sangka, dia boleh duduk depan aku dan sertai perbincangan kami. Rupanya, abang
Adzim ni salah seorang member dia rupanya. Lepas tu yang peliknya, abang Adzim
yang suruh dia ikut serta dalam perbincangan kami. Kata abang Adzim, dia segan
nak ajar kami. Almaklumlah, kami tiga perempuan, dia sorang je lelaki. Lagipula
katanya, dia taklah seterror dan sepandai kawan dia yang sorang tu.
- Dan hari ini aku mencipta sejarah baru dimana aku dah tahu nama
penuhnya. Putera Ammar Bin Rasyid. Patutlah hari tu aku dengar member dia
panggil ‘Am’/ rupanya singkatan untuk ‘Ammar’. Indah nama dia. Seindah wajah
yang putih berseri. Juga seindah bicara yang mendamaikan hati yang mendengar.
Hehe.. Dia ambil kursus education dan umurnya 3 tahun lebih tua dari aku. Wah!
Sampai umur pun aku boleh tahu. Hahaha.. semua ni gara-gara Syifa lah.
Macam-macam yang dia tanya. Lari dari perbincangan yang sebenarnya! p/s ada
juga Ammar tu Tanya aku pasal dekat library hari tu. Fuh! Rupanya dia masih cam
dengan muka aku yang tak berapa nak lawa ni. Dan dia kata ‘terima kasih sebab
bagi izin saya duduk ari tu’
“Laa… dia ni, apasal tak naik lagi?” tiba-tiba datang Syifa dari
arah belakang. Syifa baru sahaja balik dari perbincangan subjeknya yang
diadakan di kampus tadi. Tercungap-cungap Syifa kerana kepenatan.
“Sudah-sudahlah baca diari kau tu Aqis.” Sambung Syifa lagi. Di hujung kata,
ada senyum manis yang dia ukirkan.
“Aku tak boring baca diari aku ni Syifa. Malah, aku rasa hidup aku
bersemangat bila baca memori-memori indah yang pernah terlakar dalam hidup aku
dulu. Aku rindu masa-masa lalu…” ada kesayuan pula pada nada suara Balqis. Dan
sebelum hati dan suasana menjadi sebak, Syifa terus memeluk tubuh Balqis seerat
mungkin. Sesungguhnya dia merasai perasaan rindu dan sedih yang menjalar di
hati sahabatnya itu.
* * *
“Eh Aqis, kau nak aku bungkuskan apa-apa ke untuk kau? Aku dengan
Atul nak keluar kejap. Nak ajak kau, confirm kau tak nak kan?” seloroh Syifa
sambil duduk di sisi Balqis. Sahabatnya itu sudah siap-siap untuk keluar. Atul
pula masih berbual dengan seseorang di dalam telefon di anjung asrama.
“Tak nak lah. Aku tak ada seleralah Syifa. Kau bungkus untuk
korang jelah ye.” Jawab Balqis dengan senyuman.
“Ermm, kau janganlah macam ni Balqis. Tak baik tahu tak
bersemangat ni. Tak pe, aku bungkuskan untuk kau juga, okay? Aku belanja kau
malam ni. Nasi goreng mamak, amacam?” Syifa memujuk. Dan pujukannya itu menjadi
apabila Balqis mencuit pipinya dengan gelak tawa.
“Hah! Balqis, Wadah kata nanti dia nak datang sini. Nak pinjam
laptop aku. Kau tolong bagi dekat dia ye…. ada atas meja aku tu hah,” Atul
memberi pesan. Lalu dicapainya kunci kereta dia atas katil. Balqis sekadar
mengangguk. Wajah Waddah, yang baru masuk semester tiga itu terlayar sebentar
di ruang ingatannya. Dan kini, Balqis keseorangan di bilik itu. Kedengaran juga
suara-suara perbualan teman-teman lain dari bilik sebelah menyebelah. Tapi dia
endahkan. Dan sementara menunggu kedatangan Waddah, diari dicapai. Diselak buku
itu mengikut keberadaan sekeping penanda buku.
13 Febuari 2012
- Kelas ganti! Huh! Aku rasa bukan aku sorang je yang tak suka
bila lecturer kata dia nak buat kelas ganti. Aku bukannya tak suka kelas ganti
sebab dengan kelas gantilah kita boleh cover apa-apa pelajaran yang dah tak
sempat lecturer nak ajar. Maksudnya, nak habiskan silibus. Tapi yang aku tak
suka tu, lecturer selalu pilih masa yang tak sesuai dengan mood aku. Hurm..
contohnya tadi. Sakitnya perut aku hanya Dia je yang tahu. Kiranya tak nak ke
kelas tapi memandangkan miss kata pelajaran yang dia hendak ajar hari ni akan
keluar dekat midterm akan datang, jadi aku semangatkan diri jugak ke kelas.
Harap-harap kena berkatlah ilmu yang aku dapat hari ni. Hehehe
- Tapi, yang paling bestnya, tengah aku sakit-sakit ada juga
indahnya. Haha. Tak pasal-pasal Putera Ammar Bin Rasyid tawarkan diri beli
panadol 2 bijik untuk aku. Alahai… mulanya aku tak nak tapi dia paksa juga aku
telan panadol tu. Dia kata, selagi aku tak telan panadol tu depan dia, selagi
tu dia tak pulangkan buku nota aku yang dia ambil dari atas meja. Aku telan
jelah walaupun aku tahu, panadol tu tak mungkin akan sembuhkan sakit perut aku!
Takkan aku nak kasi tahu dia ‘aku ni tengah senggugut, takkan nak makan
panadol’. Dush! akhirnya aku yang mengalah. Telan jelah…
- Baru sekejap tadi, aku dapat call dari someone special dalam
hati aku. Dia dapat nombor aku time kami tukar-tukar nombor masa study group
ari tu. Tak tahulah, kenapa pulak jantung aku ni berdebar semacam. Haha..
betul-betul ada renjatan elektriklah dia tu. Walau tak nampak, tapi dah boleh
buat aku bergetar satu badan. Aku buat andaian sendiri, yang dia memang mahu
berkawan dengan aku. Yelah, cuba kalau dia tak nak kawan aku, mesti dia dah
delete ke… apa ke nombor aku tu kan? Ermm.. logic ke macam tu? Fuh! Tapi aku
ada rasa bangga sikitlah sebab dia boleh ingat, kenal dan ada masa nak call aku
malam-malam ni semata-mata nak tanya pasal kesihatan aku! Terima kasih! Saya
sangat terharu Putera Ammar Bin Rasyid!
Perlahan-lahan Balqis menutup buku diari miliknya. Dia menarik
nafas dan menghembusnya perlahan. Putera Ammar… Setiap bait-bait kata Putera
Ammar Bin Rasyid terlalu berbekas dalam hati dan jiwanya. Setiap pertemuan demi
pertemuan yang tercipta antara dia dan Putera Ammar membuatkan mereka semakin
menemui erti keserasian dalam diri masing-masing. Walau tak terungkap dengan
kata, tapi dengan pandangan mata sahaja sudah cukup menjelaskan kalau ada
perasaan kasih dan cinta dalam diri masing-masing.
Putera Ammar miliki sifat-sifat lelaki yang tulus. Sering dia
mengajar Balqis tentang erti hidup yang sebenar. Tentang cinta hakiki yang
sewajarnya. Dia lelaki yang berpegang pada cinta Allah. Bukan pada cinta nafsu
semata. Setiap tutur katanya terselit kata-kata pujian padaNya. Sesungguhnya
dia mencari seorang muslimah yang tidak cintakan dia melebihi cintanya pada
Allah. Ya! Dia juga pernah berterus terang dengan Balqis. Kata Putera Ammar, Balqis
adalah wanita pertama yang telah menyentuh hati dan perasaannya. Tetapi dia
tidak mahu terus-terus menyimpan rasa seperti itu. Dia takut, andai perasaan
itu akan mensasarkan tujuan sebenar hidup sebagai khalifah di bumi ini.
Justeru, andai ada jodoh antara mereka dia berbesar hati dan redha dengan
ketentuanNya.
Menitis air mata Balqis. Sungguh-sungguh dia menangis merindui
kenangan, kata, dan wajah Putera Ammar. Dia sedar setiap apa yang berlaku pasti
ada hikmahnya. Begitu juga kata Putera Ammar dahulu. Tapi Balqis akui, bukan
setiap saat dia kuat menghadapi ujian yang besar dariNya ini. Terkadang, hati
rapuh dan sakit bila mengenangkan sejarah yang hanya tinggal kenangan begitu.
Kudratnya seakan hilang bila senyuman Putera Ammar terlayar di ingatan.
Akhirnya, dia terlelap di situ tanpa menyambut kedatangan Waddah.
Tidur dalam tangisan. Tetapi yang pasti esok dia perlu menjalani saat-saat
mendatang dengan berlatarkan kenangan demi kenangan yang akan mengekorinya
walau ke mana dia membawa kaki melangkah.
* * *
Balqis berjalan longlai balik ke asrama. Baru sekejap tadi dia
bersama rakan-rakan sekampusnya menduduki peperiksaan akhir tahun. Hidup
berdikari sebagai mahasiswi bagi menamatkan tiga tahun pengajian telah
mematangkannya. Telah banyak hitam putih kehidupan yang melekat di benaknya.
Serasanya, Balqis sepatutnya berasa bangga dan gembira kerana
berjaya juga dia menamatkan pengajiannya sehingga ke semester akhir. Tetapi
tidak! Sedih pula yang bertandang dalam hatinya. Dan seperti biasa, wajah
Putera Ammar bertandang lagi dalam fikirannya. Semasa peperiksaan tadi pun,
fikirannya sesekali teralih mengenangkan Putera Ammar. Tetapi dia kuatkan
semangat. Dia tahu andai Putera Ammar tahu dia tidak menumpukan perhatiannya
pada peperiksaan akhir ini, pasti lelaki itu tidak tenang di sana.
Balqis memandang beg-beg besar yang sudah tersusun kemas sejak
semalam itu. Sebentar saja lagi dia akan berangkat pulang ke kampung. Dia mahu
cepat-cepat meninggalkan asrama, kampus dan kawasan itu. Bukan bermakna dia
mahu lupakan semuanya, tetapi dia perlu mencari ketenangan di luar sana. Sudah
tidak terbendung rindu yang berkecamuk dalam benaknya.
Dia kemudian mengalihkan pandangan ke laci meja. Lalu membukanya
dan terpampang diari pelanginya di dada laci. Perlahan-lahan dia menguak diari
itu. Dan bila lembaran terakhir terkuak, laju sahaja air matanya meluruh jatuh
ke pipi. Sebak rasa dijiwa. Teresak-esak dia menangis sendiri di situ.
18 Jun 2013
- Hari ini, aku rasa cukup terpukul dengan takdir yang satu ini.
Tepat jam 2 petang, dia menghembuskan nafas terakhir di depan mata aku. Aku tak
kuat! Kenapa ini yang perlu terjadi disaat bahagia sedang mekar memutik?! Apa
salah aku sehingga aku terpaksa menanggung perit ini! Aku tak kuat Ya Allah…
sungguh! Aku tak kuat…
- Putera Ammar dah lama sakit rupanya. Aku saja yang tak tahu.
Dulu, dia pernah juga kata yang dia mungkin tak hidup lama. Tapi aku fikir itu
hanyalah gurauan semata. Aku tak terfikir langsung kalau kata-katanya itu benar
dan bukan dusta. Sebab, suaranya ketika itu bernada biasa. Tiada nada sedih
jauh sekali untuk suatu tangisan. Dia tersenyum saja ketika dia memberitahu aku
tentang itu. Allah… kalaulah masa boleh di undur semula…
- Sudah banyak yang aku belajar dari dia. Tentang hidup ini…
patutlah, hari tu dia tanya aku apa aku akan buat andai suatu hari nanti orang
yang aku sayang, yang aku rapat tiba-tiba pergi. Aku jawab ’saya orang yang tak
kuat untuk terima takdir semacam itu. Kalau boleh, saya nak mati dulu dari
orang-orang yang saya sayang.’ Saat tu, dia senyum je… kata dia ‘tak baik cakap
macam tu. Sebagai seorang hamba, kita kena redha dengan ketentuanNya. Nanti,
kalau orang yang awak sayang, orang yang awak rapat pergi dulu sebelum awak,
awak kena redha tau… jangan sedih-sedih… ok?’ dan dengan penuh semangat aku
kata ‘Ok bos!’
Sekeping gambar yang terselit di buku diari itu ditatap Balqis
lama. Gambar dirinya, Putera Ammar, abang Adzim dan Syifa sewaktu mereka
belajar berkumpulan tahun lalu ditatapnya dengan juraian air mata.
“Ternyata… hati saya memang tak kuat Am… saya sedih tanggung
derita ni. Putera Ammar… saya rindu awak…” bisik Balqis dalam esakkan. Kuat dia
menggenggam sekeping gambar itu. Senyuman yang terpamer dari empat anak muda
itu bagai menyiat-yiat perasaannya.
“AstagfirullahAladzim… Balqis, kau kenapa ni?” tiba-tiba sahaja
Syifa muncul di belakang. Kelam-kabut dia memeluk tubuh teman baiknya itu.
“Ammar…” seakan anak kecil, Balqis menghulurkan sekeping gambar
tadi.
“Sabar Aqis. Kau tak boleh macam ni. Demi Putera Ammar, kau kena
kuat. Mesti dia tak suka kalau kau macam ni Aqis,” pujuk Syifa. Bertambah erat
pelukkan yang dia cipta. Balqis sudah tidak terkata. Yang kedengaran hanyalah
esakkan yang semakin berlagu. Sungguh! Dia tidak mahu menangis tetapi dia tidak
tahan dengan sebak di dada. Sakit dadanya andai dia terus-terusan menahan
tangis.
Putera Ammar… semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan
bersama orang-orang yang soleh. Balqis akan selalu mendoakan kesejahteraan
Putera Ammar di sana. Dan andai Balqis berjaya dalam peperiksaan akhir tahun
ini, itu semua kerana berkat tunjuk ajar Putera Ammar yang tidak henti-henti
menyuruh Balqis menelaah pelajaran. Balqis akan selalu merindui dan mendoakan
Putera Ammar.
T.A.M.A.T
0 komentar:
Posting Komentar